Skip to content

Suara

  1. Jenis suara
    1.1 Suara Inap
    1.2 Suara Panggil
    1.3 Suara Tarik
  2. Senarai suara SP dan SI
    2.1 Senarai Suara
    2.2 Penukaran suara
  3. Perlalatan
    2.1 Tweeter
    2.2 Amplifier
  4. Cara Setting
    3.1 Jenis amplifier
    3.2 Cara setting suara
  5. Cara pemasangan tweeter
    4.1 Tweeter inap
    4.2 Tweeter tarik
    4.3 Tweeter panggil dan Hex

Suara merupakan satu faktor yang amat penting dalam kejayaan sesebuah rumah walet. Penggunaan suara yang salah boleh merencatkan perkembangan populasi walet dan seterusnya membawa kepada kegagalan rumah walet berkenaan.


1. jenis Suara

Suara boleh diketegorikan kepada 3 jenis iaitu:

1. Suara Panggil (SP) atau Suara luar atau Suara ibu. Bunyi suara ini majoritinya adalah suara burung dewasa. Ia digunakan di lubang masuk burung (LMB) untuk memancing burung walet untuk masuk ke dalam rumah walet.

2. Suara Inap (SI) atau Suara dalam atau Suara anakan. Bunyi suara ini pula majoritinya adalah suara pinyik anak burung. Ia digunakan di dalam ruang inap untuk memukau burung walet untuk menginap.

3. Suara Tarik (ST) ialah suara panggil yang biasanya dipasang di bahagian dalam rumah walet untuk menarik burung masuk ke ruang inap. Ia bukan sejenis suara yang berbeza tetapi cara penggunaan yang berbeza. Untuk suara tarik, kita boleh gunakan suara panggil yang sama dengan suara di LMB ataupun suara panggil yang berlainan. Ia bergantung kepada cara pemasangan. Penggunaan suara yang berlainan adalah lebih berkesan berbanding dengan suara yang sama. Kami akan huraikan perkara ini secara terperinci di bahagian pemasangan di bawah.


2. Senarai suara sP & SI yang Top

Terdapat beratus jenis suara panggil dan suara inap yang digunakan oleh petani walet. Kesesuaian suara walet adalah bergantung kepada kawasan. Suara yang sesuai di kawasan A tidak semestinya sesuai di kawasan B. Jadi anda perlu mencuba beberapa jenis suara untuk mencari suara yang paling sesuai dengan kawasan anda.

Apakah ciri-ciri suara yang sesuai? Jika burung di kawasan anda menyukai suara berkenaan, ia akan terbang berdekatan dengan tweeter apabila suara itu dimainkan. Anda boleh lihat burung seakan mencium atau bergayut di tweeter. Pemerhatian ini harus dilakukan untuk beberapa hari atau minggu kerana respon burung adalah berbeza dari satu hari ke satu hari yang lain.

2.1 Senarai Suara SP dan SI

Berikut merupakan sebahagian daripada suara SP dan SI yang telah terbukti bagus dan telah membantu ramai petani walet berjaya.

Suara Panggil (SP)

  • SP Pajero
  • SP Kayangan Q5
  • SP Sarawak King
  • SP Tombak Raja by Andi Sufar
  • SP Monyet Api
  • dan lain-lain lagi……

Suara Inap (SI)

  • SI Baby King
  • SI Akau
  • SI Inap 88
  • SI Maharani Q5
  • SI Inap Liur 77 by Andi Sufar
  • dan lain-lain lagi……

Jangan bataskan pilihan anda kepada suara yang disenaraikan di atas sahaja. Terdapat banyak lagi suara SP dan SI yang bagus yang tidak disenaraikan di atas. Anda perlu cuba dan pilih sendiri yang mana lebih sesuai.

Pihak kami telah membuat testing suara di beberapa kawasan untuk mencari suara yang terbaik tetapi testing suara mempunyai batasan yang tidak dapat diselesaikan. Respon burung adalah tidak konsisten dan bertukar-tukar.

  • Setiap kawasan yang berbeza respon burung pun berbeza
  • Waktu yang berbeza respon burung pun berbeza (hujan atau panas)
  • Musim yang berbeza respon burung pun berbeza

Jadi kami tidak dapat membuat rumusan suara mana yang terbaik. Anda perlu mencubanya sendiri di kawasan anda.

2.2 Penukaran Suara

Suara SP dan ST boleh ditukar ganti setiap 3-6 bulan sekali bergantung kepada respon burung. Sebaiknya simpan 2 suara SP yang bagus dan buat rotation atau giliran antara 2 suara ini 3-6 bulan sekali. Populasi rumah walet anda akan lebih cepat berkembang.

PENTING: Elakkan daripada menukar suara SP dan ST terlalu kerap atau kurang dari 3 bulan kerana ia dapat merencatkan pertumbuhan rumah walet.

Suara SI pula tidak boleh ditukar semena-mena kerana ia lebih sensitif berbanding dengan suara SP. Penukaran suara SI yang salah boleh menyebabkan burung walet berpindah ke rumah lain.

Suara SI cuma boleh ditukar sekiranya rumah walet anda tidak ada perkembangan dalam jangka masa yang panjang. Pilih suara SI baru yang telah digunakan ramai dan telah terbukti berkesan.

PENTING: Pastikan suara SI ditukar pada waktu malam sahaja untuk rumah walet yang sudah berpenghuni.


2. Peralatan

2.1 Tweeter

Tweeter ialah sejenis speaker yang mampu menghasilkan suara yang paling mirip dengan suara burung walet. Terdapat pelbagai jenama tweeter di pasaran seperti Audax, Nestpro, Piro, Gromax, MES dan banyak lagi. Kesemua tweeter ini pula dapat dibahagikan kepada 3 jenis utama iaitu:

1. Tweeter Inap – Biasanya tweeter jenis piezo. Tweeter ini lebih ringan dan suara yang dihasilkan lebih perlahan. (contoh Nestpro 205 dan Audax 61)

Tweeter piezo inap
Tweete inap audax 61

2. Tweeter Panggil dan Tarik – Biasanya tweeter jenis magnetic atau piezo yang bersaiz lebih besar. Tweeter ini lebih berat dan suara yang dihasilkan juga lebih kuat dan nyaring. (contoh Nestpro axc 4000 dan Audax 3000)

Tweeter magnetic panggil
Tweeter magnetic walet

3. Tweeter Hexagonal – Tweeter ini biasanya dipasang di bahagian atas lubang masuk burung (LMB) di bumbung bangunan. Tujuannya adalah untuk memancing burung dari semua arah ke LMB.

Tweeter walet hexagonal
Tweeter hexagonal

2.2 Amplifier

Amplifier merupakan pemain suara walet yang biasanya dipacu menggunakan pendrive atau usb drive. Sama juga dengan tweeter, terdapat pelbagai jenama amplifier di dalam pasaran seperti NestAmp, Nestpro, Piro, Gromax dan lain-lain lagi.

Faktor penting yang perlu diambil kira semasa membeli amplifier ialah jumlah channel yang ada dan kapasiti tweeter yang boleh dipasang. Amplifier kecil biasanya mampu menampung kapasiti tweeter yang terhad. Elakkan daripada menggunakan amplifier melebihi had kapasiti yang ditetapkan kerana ia boleh menghasilkan suara yang tidak sempurna.

Terdapat 2 jenis amplifier yang biasa digunakan:

  • Jenis yang boleh buat setting Bass(Low), Mid, Treble(High), dan Volume, contohnya NestAmp A4.

nestamp amplifier walet
  • Jenis yang cuma boleh set Volume sahaja, contohnya Piro MW88. Jenis ini anda tidak perlu risau tentang bass, mid dan treble kerana ia telah siap di setting.

Amplifier walet Piro MW88

Kedua-dua jenis amplifier di atas boleh digunakan. Tidak ada perbezaan yang ketara dari segi keberkesanannya.


3. Cara Setting Suara

3.1 Setting Bass, Mid dan Treble

Setting suara cuma perlu dibuat jika anda menggunakan amplifier jenis yang ada butang bass, mid dan treble.

  1. Bass atau Low harus ditutup semua kerana suara walet tidak perlukan frequency rendah.
  2. Mid harus diletakkan antara jam 12 hingga jam 1.
  3. Treble atau High harus diletakkan antara jam 1 hingga jam 2.

Setting amplifier suara walet

3.2 Setting Volume

  1. Volume tidak perlu terlalu kuat kerana volume yang kuat akan menghasilkan suara pantulan yang boleh mengganggu ketenteraman burung.
  2. Volume Suara Inap harus di setting dalam lingkungan 60-65db.
  3. Volume Suara Tarik dalam lingkungan 65-70db.
  4. Volume Suara Panggil pula dalam lingkungan 70-75db.
  5. Anda boleh menggunakan alat Sound Meter ataupun applikasi “Sound Meter” dalam telifon pintar untuk mengambil bacaan db.
Sound meter
Sound Meter
Sound meter app walet
Applikasi Sound Meter

3.3 Setting Masa On dan Off

  1. Setting masa boleh dilakukan dengan menggunakan timer jenis digital atau analog.
  2. Suara SP dan ST cuma perlu dimainkan pada siang hari sahaja iaitu dari waktu matahari terbit ke matahari terbenam. Biasanya dari jam 6am-8pm di semenanjung dan 5:30am-7:30pm di Sabah dan Sarawak.
  3. Suara SI pula perlu dimainkan 24 jam tanpa henti.

Timer rumah walet

4. Cara Pemasangan tweeter

4.1 Tweeter Inap

Terdapat beberapa jenis formasi yang biasa digunakan dalam pemasangan tweeter inap walet. Kami akan menghuraikan 2 formasi utama yang telah terbukti berkesan dan paling banyak digunakan.

4.1.1 Formasi Biasa atau formasi Searah

Formasi ini amat mudah dan paling banyak diguna pakai oleh petani walet. 2 jenis tweeter yang biasa digunakan adalah:

  • Tweeter inap jenis segi empat panjang seperti Nestpro 205
  • Tweeter inap jenis empat segi tepat seperti Audax 61.

Kesemua tweeter ini dipasang secara berbaris mengarah ke arah burung masuk.

Formasi tweeter inap

Biasanya kami menggunakan formula di bawah untuk menentukan jumlah tweeter yang diperlukan.

FORMULA: (Lebar bangunan) x (Panjang bangunan) = Keluasan / 13 = Jumlah Tweeter

Contoh: Luas bangunan (60 x 20) = 1200 / 13 = 92 biji tweeter

4.1.2 Formasi 3-2-3

Teknik ini menggunakan tweeter jenis Audax 65 yang dipasang secara bersemuka. Untuk ruang yang luas, teknik 3-2-3 biasa digunakan tetapi ia boleh ditukar ke formasi 2-1-2 bagi ruang yang agak kecil.

Formasi tweeter inap 3-2-3

4.2 Tweeter tarik

Fungsi utama tweeter tarik ialah untuk menarik burung walet yang berputar di ruang putar (atau void) untuk masuk ke dalam ruang inap. Ramai petani walet yang bertanya kenapa burung walet tidak mahu masuk ke ruang inap. Sebab utamanya ialah kegagalan memasang tweeter tarik yang betul ataupun design laluan masuk burung yang sukar.

Tweeter tarik harus dipasang di setiap pintu atau jendela di laluan masuk burung. Anda boleh menggunakan tweeter jenis magnetic atau Audax 65 ataupun kedua-duanya sekali. Kami akan bahagikan penggunaan tweeter tarik kepada 2 teknik utama.

4.2.1 Teknik 1 suara

Untuk teknik ini anda cuma perlu gunakan 1 jenis suara tarik sahaja. Untuk pemasangannya pula anda boleh gunakan 2 jenis tweeter (magnetic atau Audax 65). Kalau tweeter jenis magnetic anda cuma perlu pasang sebiji sahaja (seperti Nestpro axc 4000) di atas setiap pintu/jendela di laluan masuk burung.

Tweeter tarik magnet
Tweeter tarik magnet zoom
Formasi tweeter tarik

Kalau anda menggunakan tweeter jenis Audax 65, ia perlu dipasang di sebelah kiri dan kanan bahagian atas di setiap pintu/jendela di laluan masuk burung.

Kesemua tweeter tarik harus didongakkan ke arah LMB.

Formasi tweeter tarik

Kesemua tweeter ini boleh disambung secara selari untuk memudahkan wiring dan setting. Di bahagian belakang rumah walet harus dipasang 1 tweeter Audax 65 untuk menarik burung masuk ke belakang. Tweeter ini harus dipasang pada jarak 2 kaki di bawah papan sirip.

4.2.2 Teknik 2 suara

Teknik terbaru ini sangat terkenal di Indonesia kerana mampu memberikan kesan yang lebih mantap berbanding dengan teknik 1 suara. Ia mula dipopularkan oleh Sifu Andi Sufar dari Bombana Selawesi Selatan, Indonesia.

Teknik ini menggunakan 2 jenis tweeter iaitu Audax 65 dan tweeter magnetic. Sebelah kiri pintu/jendela dipasang tweeter Audax 65 dan sebelah kanan pula dipasang tweeter jenis magnetic seperti Nestpro axc 4000. Jalur tweeter Audax 65 akan menggunakan suara SP yang berbeza dari jalur tweeter magnetic sebelah kanan. Contohnya jika anda menggunakan SP A di jalur tweeter Audax 65, anda perlu menggunakan SP B untuk jalur tweeter magnetic.

Kesemua tweeter tarik harus didongakkan ke arah LMB.

Formasi tweeter tarik

Seperti juga teknik 1 suara, teknik ini juga harus dipasang 1 tweeter Audax 65 di belakang untuk menarik burung masuk ke belakang. Tweeter ini harus dipasang pada jarak 2 kaki di bawah papan sirip.

Anda boleh mendengar sendiri penjelasan Sifu Andi Sufar di dalam video di bawah.

4.3 Tweeter Panggil dan Hexagon

Fungsi utama tweeter panggil ialah untuk memancing burung walet berdekatan untuk melawat ke rumah burung. Fungsinya macam iklan yang digunakan untuk menarik pelanggan masuk ke kedai. Semakin bagus suara yang dimainkan semakin banyak burung yang melawat.

4.3.1 Lubang masuk burung (LMB)

Cara pemasangan tweeter panggil di LMB adalah lebih kurang sama dengan cara pemasangan tweeter tarik yang kami huraikan di atas bergantung kepada teknik yang digunakan.

Untuk teknik 1 suara panggil, anda cuma perlu pasang 2 biji tweeter jenis magnetic di sebelah kiri dan kanan LMB. Kedua-dua tweeter ini menggunakan jalur suara panggil yang sama.

Manakala untuk teknik 2 suara pula, sebelah kiri LMB harus dipasang tweeter Audax 65 dan di sebelah kanan pula dipasang tweeter jenis magnetic. Setiap tweeter ini mempunyai jalur berasingan yang disambung ke amplifier masing-masing bergantung kepada suara SP yang digunakan.

4.3.2 Tweeter Hexagonal (Hex)

Tweeter Hex harus dipasang berdekatan dengan LMB. Fungsinya adalah untuk memancing burung walet dari semua arah untuk melawat ke rumah walet.

Untuk rumah burung yang menggunakan design jenis rumah monyet atau lubang dinding, tweeter hex harus dipasang di atas LMB dengan tiang hex lebih kurang 2 kaki tinggi. Tweeter hex menggunakan jalur suara SP yang sama dengan suara di LMB.

Tweeter hexagonal walet

Manakala untuk rumah walet yang menggunakan design jenis lubang terjun atau liang naga, pastikan tweeter hex dipasang bertentangan dengan LMB di tepi sebelah kiri atau kanan.

Tweeter hex walet