跳至正文

设计

  1. Asas Design
  2. Luaran dan Bangunan
    2.1 Saiz
  3. Dalaman Bangunan
    3.1 LMB
    3.2 Ruang putar
    3.3 Void
    3.4 Sekat / Partition
    3.5 Lubang angin
    3.6 Bilik perkakas
  4. Papan Sirip
    4.1 Jenis kayu
    4.2 Pemasangan
    4.3 Kayu corner
  5. Contoh Plan Bangunan dan lantai

1. asas design rumah walet

Design atau tataruang rumah walet adalah faktor yang amat penting dalam kejayaan sesebuah rumah walet. Kebanyakkan rumah walet gagal yang kami lawati adalah disebabkan oleh design yang salah, contohnya cara pemasangan partition atau sekat yang menyukarkan burung keluar masuk.

Design rumah walet boleh dibahagikan kepada 3 jenis yang utama:

  1. Rumah monyet atau Monkey house
  2. Lubang terjun atau Liang naga atau Open roof
  3. Lubang dinding

Ketiga-tiga design diatas boleh digunakan dan hasilnya lebih kurang sama bergantung kepada design dalaman, lokasi dan suara.


2. Luaran dan bangunan

2.1 Saiz

Rumah walet datang dalam pelbagai saiz dan bentuk bergantung kepada bajet dan keluasan tanah. Ada yang luas sehingga 100 x 100 kaki dan tinggi sehingga 5 tingkat. Kejayaan sesebuah rumah walet bukan bergantung kepada saiz. Terdapat banyak rumah walet bersaiz kecil yang mampu menghasilkan berkilo sarang sebulan.

Jika bajet mengizinkan, saiz rumah walet yang paling sesuai ialah 100 kaki panjang x 24 kaki lebar, 2 atau 3 tingkat tinggi. Saiz ini merupakan saiz yang seimbang dimana setiap ruang di dalam rumah walet boleh dilawati burung walet dalam masa yang singkat.

Jika rumah walet dibuat terlalu luas ataupun terlalu tinggi, lantai atau ruang yang jauh di dalam akan mengambil masa yang agak panjang untuk dihuni.


3. Dalaman bangunan

3.1 LMB

Lubang Masuk Burung (LMB) merupakan faktor yang penting untuk menarik burung walet masuk ke dalam rumah walet. Arah, posisi dan saiz LMB haruslah betul.

  1. LMB harus mengarah ke arah mana? Arah matahari terbit atau terbenam? Arah utara atau selatan? Mudah… LMB haruslah mengarah ke arah burung balik pada waktu petang untuk memudahkan burung walet mencari LMB semasa pulang. Tetapi jika LMB tidak dapat diarahkan ke arah burung balik atas sebab-sebab tertentu, satu tweeter hexagonal haruslah dipasang di atas LMB untuk menarik walet dari semua arah ke LMB.
  2. Berapa biji LMB yang diperlukan? LMB memadai 1 biji sahaja. Dalam pengamatan kami, LMB lebih dari 1 biji akan mengelirukan walet dan menyebabkan berlakunya walet masuk kiri keluar kanan.
  3. Setiap sifu/consultant menggunakan saiz yang tersendiri tetapi lazimnya saiz LMB yang besar adalah lebih bagus berbanding dengan yang kecil. LMB yang terlalu kecil akan menyukarkan walet keluar masuk terutamanya anakan walet yang baru belajar terbang. Saiz yang sesuai dan biasa digunakan ialah: 2T x 2L kaki, 2T x 4L kaki, 3T x 3L kaki dan pelbagai lagi (Tinggi x Lebar).
  4. Bergantung kepada saiz rumah walet, semakin luas rumah walet semakin besar LMB yang diperlukan. Akan tetapi LMB yang terlalu luas akan menyukarkan pengawalan cahaya di dalam rumah walet, terutamanya untuk rumah walet bersaiz kecil. Untuk rumah walet yang bersaiz besar pula, cahaya berlebihan ini boleh dikawal dengan menggunakan aturan sekat yang betul.
  5. Untuk LMB yang bersaiz kecil atau sederhana, pastikan ianya tidak rapat ke dinding dan bumbung kerana ia boleh menyukarkan burung keluar masuk. Jarakkan LMB sekitar 60cm dari dinding dan 60cm dari bumbung. Akan tetapi hal ini boleh dikecualikan untuk LMB yang bersaiz besar.
  6. Di sekeliling dan bibir LMB tidak harus diwarnakan dengan cat hitam kerana ia akan mengelirukan walet yang cuba mencari LMB semasa pulang. Walet akan terkeliru dan menyangkakan cat hitam di dinding ialah lubang.
  7. Di sekeliling LMB juga tidak boleh dibuat awning atau topi. Ada beberapa petani walet yang membuat awning di luar LMB untuk mengawal cahaya matahari tetapi tidak tahu yang awning ini boleh mengganggu walet berpusing di LMB.
  8. Bumbung atau atap bangunan di atas LMB juga tidak boleh terlalu menonjol keluar sehingga menyukarkan burung turun ke LMB. Seharusnya bumbung di atas LMB dirapatkan ke dinding.
  9. Di bahagian dalam di bawah LMB tidak harus dipasang papan penghadang cahaya kerana ia dapat menyukarkan burung untuk terjun atau terbang naik.
  10. Pastikan juga di depan LMB tiada halangan yang boleh menyukarkan burung terbang, contohnya tiang atau cable elektrik atau pohon besar. Burung walet memerlukan ruang yang lapang untuk berterbangan.
  11. LMB juga tidak boleh berbentuk cerobong seperti terowong atau tunnel. Bentuk ini boleh menyukarkan walet keluar masuk dan juga boleh mengganggu anakan walet yang baru ingin berjinak keluar masuk.
  12. Lampu boleh dipasang di LMB untuk memudahkan walet melihat LMB dari jauh. Tetapi pastikan lambu tidak dipasang terlalu dekat dengan LMB kerana silau cahaya lampu boleh mengganggu burung semasa memasuki LMB. Jarakkan lampu dalam 1 meter dari LMB.
  13. Semburan kabus juga tidak harus dipasang di LMB kerana ia juga akan mengganggu walet semasa memasuki LMB.
  14. Jeriji besi juga tidak harus dipasang di LMB. Ramai yang memasang jeriji besi di LMB untuk menghalang burung hantu daripada memasuki rumah walet. Perbuatan ini tidak membantu malah akan mengganggu burung walet keluar masuk.


3.2 Ruang putar

Ruang putar atau roving room merupakan ruang pertama yang dilawati walet selepas memasuki LMB. Ruang ini haruslah cukup luas dan selesa untuk walet berpusing dan menyesuaikan diri sebelum masuk ke ruang inap.

Ruang putar datang dalam saiz dan bentuk yang berbeza-beza. Untuk rumah walet yang menggunakan design jenis rumah monyet, ruang putarnya ialah rumah monyet itu sendiri. Saiz ruang putar yang kami cadangkan ialah 12 kaki x 12 kaki.

Pastikan ruang putar tidak terlalu kecil. Kami sudah lihat banyak rumah walet gagal yang memiliki ruang putar yang bersaiz terlalu kecil seperti 6×6 kaki. Ruang putar yang terlalu kecil akan menyukarkan walet untuk menyesuaikan diri dan mereka berkemungkinan besar akan berpindah ke rumah walet yang lain.

Untuk rumah walet yang bertingkat, ruang putar sebaiknya dibuat secara menegak dari atas ke bawah tanpa void. Design seperti ini akan memudahkan walet mengekses ke setiap lantai dengan mudah. (Void akan dihuraikan dengan lebih jelas di bahagian Void di bawah)

Ketinggian rumah monyet yang paling sesuai pula ialah 6-8 kaki tinggi.


3.3 Void

Void ialah lubang antara lantai yang membolehkan burung terbang dari tingkat atas ke tingkat bawah. Keluasan void adalah amat penting dan ianya bergantung kepada keluasan rumah walet anda. Semakin luas rumah walet semakin luas void diperlukan. Saiz void yang luas adalah lebih baik dari saiz yang kecil.

Posisi void yang terbaik ialah void yang lurus dari atas ke bawah atau void loss. Void jenis ini akan memudahkan burung naik turun dan kadar pencahayaan juga bagus. Void yang terlalu gelap boleh menyebabkan anakan burung berasa takut untuk turun.

Posisi void juga harus berdekatan dengan LMB. Void yang berjauhan dengan LMB akan menyukarkan walet mencari void kerana keadaan void yang terlalu gelap.

Elakkan dari membuat void yang:

  1. Jauh dari LMB
  2. Posisi berbentuk zig zag
  3. Terlalu kecil
  4. Void yang dibina sekali dengan tangga

Jika posisi void anda terlalu jauh dari LMB, sila buka lubang angin di void untuk melaraskan pencahayaan void. Anda juga boleh memasang lampu kecil di void jikalau tiada lubang angin yang berdekatan.


3.4 Sekat / Partition

Sekat atau partition merupakan dinding yang dibuat di dalam rumah walet dengan tujuan untuk:

  1. Pengawalan pencahayaan dari LMB.
  2. Pembahagian ruangan untuk menggalakkan koloni walet menginap.

Sekat seharusnya bersifat sementara. Elakkan daripada membuat sekat/partition dengan menggunakan batu bata atau dinding kekal kerana ia akan menyukarkan pengubahsuaian jika perlu di masa akan datang.

Di bahagian laluan burung masuk, jarak antara sekat tidak boleh terlalu rapat kerana ia akan menyukarkan burung walet untuk berpusing. Kami cadangkan jarakkan sekat setiap 12 kaki untuk laluan burung yang berbentuk “S”.


3.5 Ventilasi / Lubang angin

Ventilasi atau Lubang angin biasanya dibuat di dinding rumah walet untuk membantu pengedaran udara di dalam rumah walet. Udara yang bersih diperlukan untuk perkembangan populasi walet yang sihat.

ventilasi rumah walet

Rumah walet yang telah dihuni burung walet akan menghasilkan banyak najis di atas lantai. Najis ini seterusnya akan dicerna dan menghasilkan gas ammonia yang boleh menjejaskan kualiti udara di dalam rumah walet. Jika tidak dibuang, gas ammonia ini boleh merencatkan pertumbuhan populasi walet dan juga kualiti sarang walet.

Kebiasaannya lubang angin diperbuat dengan menggunakan paip PVC bersaiz 4 inci. Di bahagian dalam pula dipasang elbow yang mengarah ke bawah. Tujuannya adalah untuk mengawal kadar cahaya yang masuk melalui lubang tersebut. Panjang paip elbow ke bawah adalah dalam 50cm panjang.

Lakaran ventilasi rumah walet

Ketinggian lubang angin yang paling sesuai ialah 60cm di bawah papan sirip. Elakkan daripada membuat lubang angin yang terlalu rendah kerana tiupan angin dari lubang boleh menyebabkan habuk najis di lantai berterbangan.

Di sebelah luar lubang angin pula perlu ditutup dengan penutup jaring PVC untuk menghalang burung liar daripada membuat sarang di dalamnya.

Penutup ventilasi walet

Lubang angin tidak seharusnya dibuat terlalu banyak. Jarakkan setiap lubang angin 5 kaki. Lubang angin yang terlalu banyak boleh mengganggu peredaran udara dan ekosistem di dalam rumah walet.

Untuk rumah walet yang baru siap, lubang angin harus ditutup buat sementara waktu untuk mengurangkan peredaran udara yang boleh mengganggu walet yang baru menyesuaikan diri. Sebaiknya tutup dahulu selama 3 bulan pertama. Secara logiknya lubang angin masih tidak diperlukan pada masa ini kerana gas ammonia belum dihasilkan.


3.6 Bilik perkakas

Bilik khas untuk menempatkan amplifier dan perkakas lain sebaiknya disediakan di pintu masuk sebelum masuk ke ruang inap. Penempatan bilik perkakas di luar ruang inap memudahkan kita untuk memeriksa keadaan perkakas tanpa perlu masuk ke ruang inap, contohnya amplifier suara yang perlu sentiasa diperiksa untuk memastikan suara bermain tanpa henti. Dengan yang demikian, kehadiran kita tidak akan mengganggu burung yang sedang menyesuaikan diri.

Bilik perkakas walet

4. Papan Sirip

4.1 Jenis Kayu

Fungsi utama papan sirip ialah sebagai tempat untuk burung walet bersarang. Papan ini biasanya dipilih dari jenis kayu yang tidak terlalu keras dan tidak terlalu lembut. Kayu yang biasa digunakan ialah dari jenis kayu meranti atau kayu seraya.

Saiz papan yang paling biasa digunakan ialah 1 inci tebal dan 6 inci lebar (1″ x 6″). Papan ini perlu terlebih dahulu diketam untuk membuang bulu kayu. Selepas itu ia perlu dimesin dengan jalur untuk memudahkan burung hinggap.

4.2 pemasangan

Papan haruslah dikeringkan dahulu sebelum digunakan untuk mengelakkannya daripada berkulat. Burung walet tidak akan bersarang diatas papan yang berkulat. (Sila lihat bahagian masalah kulat dan kaedah penyelesaiannya)

Papan sirip sebaiknya dipasang melintang mengarah ke arah lubang masuk burung (LMB). Tujuannya agar pemasangan tweeter inap mudah dilakukan dan cahaya yang masuk dari LMB tidak terkena papan.

papan sirip walet dipasang secara melintang
Papan sirip dipasang secara melintang

Ketinggian papan sirip dari lantai adalah antara 8-10 kaki. Papan sirip yang terlalu rendah akan menyukarkan burung walet terbang dan papan sirip yang terlalu tinggi pula akan menyukarkan proses penuaian.

Jarak pemasangan papan sirip ialah antara 30cm-50cm dan boleh dipasang secara memanjang atau disekat berbentuk kotak-kotak.

Petak papan sirip walet

Dalam pemerhatian kami, jarak papan yang rapat dapat mempercepatkan perkembangan populasi burung berbanding dengan jarak yang jauh. Jadi kami cadangkan jarakkan papan ke sekitar 30cm.

Jarak papan sirip walet

Formula untuk mengira kuantiti papan yang diperlukan. Formula ini diguna pakai untuk papan saiz 6″ x 1″ dan petak sirip 3 kaki x 1½ kaki.

(Lebar bangunan) x (Panjang bangunan) = Keluasan / 1000 = Berat papan (tan)

Contoh: Bangunan (60 x 20) = 1200 / 1000 = 1.2 tan papan sirip.

4.3 kayu sudut

Di setiap sudut petak sirip seharusnya dipaku kayu corner atau kayu sudut untuk menghasilkan sarang yang berkualiti lebih tinggi. Dengan memasang kayu sudut ini, kita dapat menukar gred sarang dari sarang jenis sudut ke sarang jenis mangkuk dimana perbezaan harganya lebih dari RM500 sekilo.

Terdapat pelbagai jenis kayu corner: Kayu corner biasa, kayu corner jenis papan, corner jenis jaring mesh, dan lain-lain lagi. Mengikut mengamatan kami, kesemua jenis corner adalah sama sahaja dari segi keberkesanannya untuk walet bersarang.

Anda cuma perlu berhati-hati jika menggunakan kayu corner jenis papan kerana ia akan menghasilkan ruang di belakang papan corner. Ruang ini boleh menjadi tempat pembiakan lipas dan semut jika tidak dijaga dengan betul.

Kayu corner jenis papan
Kayu Corner jenis papan
Ruang kosong di belakang kayu corner
Ruang kosong di belakang kayu corner

5. contoh plan bangunan dan lantai