跳至正文

Pengurusan & penuaian

  1. Pembersihan
    • Waktu sesuai
    • Vakum
    • Sapu dan cuci
  2. Suhu dan Kelembapan
    • Suhu
    • Kelembapan
  3. Papan Sirip dan Kulat
    • Cara rawatan
  4. Racun dan aroma
  5. Pemangsa walet
    • Jenis pemangsa
    • Cara membasmi
  6. Penuaian sarang / panen
    6.1 Cara penuaian
    6.2 Penyimpanan
    6.3 Jual beli

PENTING: Elakkan daripada memasuki rumah walet yang baru siap untuk mengurangkan gangguan terhadap burung yang sedang menyesuaikan diri dengan tempat yang baru. Sebaiknya tunggu selepas 3 bulan.

Dan elakkan juga daripada memasuki rumah walet pada waktu malam kecuali perlu kerana ia dapat mengakibatkan burung walet stress dan terganggu.

1. Pembersihan

Najis burung di lantai rumah walet harus dibersihkan secara bersekala. Bergantung kepada populasi burung di dalam rumah walet, semakin banyak burung semakin kerap ia harus dibersihkan.

Najis yang tidak dibuang boleh menjadi tempat kutu, semut dan lipas bersarang. Ia juga boleh menghasilkan gas ammonia yang boleh mengganggu pertumbuhan walet dan juga dapat mengakibatkan sarang walet bertukar ke warna kekuningan.

Waktu yang sesuai untuk melakukan pembersihan ialah pada waktu siang hari sebelum walet pulang ke rumah. Iaitu dari jam 10am hingga 4pm.

Terdapat 2 cara perbersihan yang biasa diamalkan:

  • Vakum (amat digalakkan)
  • Sapu dan cuci

Vakum merupakan kaedah yang terbaik kerana ia dapat mengelakkan debu daripada berterbangan di udara. Debu yang banyak boleh mengakibatkan sarang walet menjadi kotor dan berkualiti rendah. Vakum juga secara tidak langsung dapat menyedut serangga perosak seperti kutu dan semut di atas lantai.

Menyapu dengan penyapu pula merupakan cara biasa yang paling mudah tetapi akan menghasilkan debu yang banyak. Jadi anda disarankan membasuh lantai dengan air selang beberapa bulan sekali untuk membuang debu halus.

PENTING: Setiap kali pembersihan siap dilakukan, racun serangga harus disemburkan ke dinding dan lantai rumah walet untuk menghindari kutu dan hama daripada naik ke papan sirip.


2. Suhu dan kelembapan

Suhu dan kelembapan yang sesuai amat penting untuk kejayaan sesebuah rumah walet. Rumah walet yang terlalu panas tidak disukai oleh burung walet. Kelembapan yang terlalu rendah juga boleh menyebabkan sarang walet tidak sempurna dan kecil.

Suhu yang paling sesuai untuk rumah walet ialah antara 28-30 C°. Suhu ini kadang-kadang boleh mencecah 32 C° di waktu petang pada musim panas. Perbezaan suhu 2 C° ini masih boleh diterima.

Kelembapan yang sesuai pula antara 80-90%. Kelembapan yang terlalu rendah boleh menyebabkan sarang burung walet berbentuk tidak sempurna, ringan dan kecil. Harga sarang ini adalah jauh lebih rendah berbanding dengan sarang yang sempurna.

Kelembapan yang terlalu tinggi pula boleh menyebabkan papan sirip berkulat. Burung walet tidak akan bersarang di papan sirip yang berkulat. (Kami akan huraikan cara untuk mengatasi masalah kulat di papan sirip di bahagian bawah).

Suhu dan kelembapan boleh dikawal dengan menggunakan humidifier atau sistem kabus/misting jenis nozzle. Kami cadangkan sistem kabus/misting jenis nozzle kerana hasil kelembapannya yang lebih merata. 1 unit sistem kabus/misting biasanya cukup untuk mengawal suhu dan kelembapan sebuah rumah walet. Lebih jimat berbanding dengan humidifier yang perlu dipasang banyak unit untuk mendapatkan hasil yang sama.

Biasanya nozzle dipasang di dinding dengan jarak 5 kaki bagi setiap nozzle dan tinggi 5 kaki dari lantai.


3. Papan sirip dan kulat

Kadar kelembapan rumah walet yang terlalu tinggi boleh mengakibatkan papan sirip ditumbuhi kulat. Keadaan ini perlu segera diselesaikan untuk mengelakkan burung walet daripada berpindah ke rumah burung lain.

Kulat di papan sirip walet

Pertama sekali anda harus mengurangkan kadar kelembapan di dalam rumah walet. Buka lebih banyak lubang angin untuk mengimbangkan pengedaran udara di dalam rumah walet dan tutup semua humidifier jika ada.

Selepas itu anda perlu merawat papan yang telah ditumbuhi kulat tadi dengan semburan Alcohol berkepekatan 80%. Alcohol ini biasanya digunakan untuk hand sanitizer Covid.

Alcohol 80%

Gunakan kain kering ataupun berus untuk membuang kulat yang terdapat di papan sirip. Kemudian semburkan alcohol 80% terus ke papan sirip tersebut dan biarkan ia kering. Ulangkan semburan 2 minggu kemudian sehingga semua kulat mati.

Selepas semua kulat sudah dibasmi, semburkan aroma ke papan sirip untuk menarik burung untuk bersarang semula.


4. Racun dan Aroma

Di sebabkan huraian yang panjang mengenai racun dan aroma, kami telah pecahkan 2 faktor penting ini kepada bahagiannya sendiri.


5. Pemangsa walet

Pemangsa yang biasa menyerang rumah walet ialah:

  • Burung hantu
  • Tikus
  • Tokek
  • Cicak
  • Helang Sewah
  • Musang
  • Kelawar
  • Ular

Setiap pemangsa di atas mempunyai cara yang tersendiri untuk diatasi.

  1. Pakukan kepingan zink bersaiz 3 kaki di sekeliling bahagian bawah dinding rumah walet. Langkah ini dapat menghalang tikus, ular dan musang daripada masuk ke dalam rumah walet. Pastikan kepingan zink dipaku di bahagian bawah lubang angin.
Zink keliling dinding rumah walet

2. Pasang perangkap burung di atas dan di dalam rumah walet untuk memerangi burung hantu dan helang sewah. Burung hantu dan helang sewah juga boleh ditembak jika perangkap yang dipasang tidak berkesan.

Elakkan daripada memasang jeriji besi di LMB kerana ia tidak membantu menghalang burung hantu daripada masuk ke dalam rumah walet. Malah ia boleh mengganggu burung walet keluar masuk.

3. Racun tikus dan tokek harus diletakkan di dalam dan sekitar rumah walet secara bersekala. Untuk tikus kami cadangkan racun jenama Storm. Racun ini tidak berbau dan sangat berkesan.

4. Kelawar agak sukar dihapuskan kerana tiada racun atau perangkap yang berkesan. Setakat ini cara yang biasa digunakan ialah menangkap atau membakarnya dengan penyembur gas.


6. Penuaian sarang / panen

6.1 Penuaian sarang

Penuaian sarang atau panen boleh dilakukan setiap minggu atau setiap bulan ataupun setiap 3 bulan sekali, bergantung kepada populasi rumah walet. Semakin banyak burung, semakin kerap boleh dituai. Penuaian boleh dilakukan dengan menggunakan scrapper atau pisau dempul yang telah ditajamkan hujungnya.

PENTING: Pastikan anda tidak mengamalkan panen rampasan dimana sarang walet diambil sebelum telur burung menetas. Amalan ini akan mengakibatkan populasi walet berkurangan dalam jangka masa yang panjang.

PENTING: Untuk rumah walet baru, kami nasihatkan anda supaya tidak melakukan penuaian sebelum jumlah sarang melebihi 100 biji. Tujuannya adalah untuk memberikan masa untuk walet menyesuaikan diri dan berkembang.

6.2 Penyimpanan

Sarang yang sudah dituai sebaiknya dijual secepat yang boleh untuk mengurangkan risiko sarang kuning. Sarang yang disimpan lama akan bertukar menjadi kekuningan dan harga akan jatuh jauh lebih murah berbanding dengan sarang putih.

Walau bagaimanapun kita mungkin mengalami keadaan dimana sarang tidak dapat dijual dengan segera. Dalam hal yang demikian, kita harus menyimpan sarang berkenaan di dalam beg kedap udara dan disimpan di tempat yang sejuk. Cara yang paling bagus ialah menyimpannya di dalam bekas polysterine.

6.3 Jual Beli

Sarang walet merupakan komoditi yang sangat mudah dijual. Ramai pembeli yang sanggup membayar harga yang tinggi untuk mendapatkan sarang walet yang cantik. Biasanya sarang walet akan dikategorikan kepada gred A, B, C, AB dan patahan bergantung kepada bentuk dan saiz sarang. Sarang ini pula akan dibahagikan pula mengikut warna dan kualiti: putih, putih beras, kuning dan sarang lumut. Harga akan diberikan mengikut kategori.

Jadi untuk mendapatkan harga sarang yang tinggi, anda harus pastikan kualiti sarang selalu terjaga.

  • Rumah burung sentiasa di dalam keadaan yang bersih.
  • Pasang kayu corner di sudut papan sirip untuk mengurangkan sarang sudut.
  • Kelembapan dan suhu rumah walet yang betul.
  • Penyimpanan sarang yang betul.
  • Penyemburan racun dan aroma dilakukan secara bersekala.